LA Toya Jackson baru-baru ini mendedahkan bagaimana anak saudaranya mengharungi kehidupan penuh derita selepas kematian bapa mereka, Michael Jackson.
Dalam temuramah dengan akhbar Daily Mirror yang diterbitkan di London, La Toya, 53 menceritakan kebimbangannya terhadap keadaan kanak-kanak itu, Michael - Prince, 12, Paris, 11 dan Blanket, tujuh.
Dia juga membayangkan mengenai kemungkinan Paris menjadi seorang lagi anggota keluarga Jackson yang akan menceburi dunia perniagaan keluarga itu.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu kini tinggal bersama nenek mereka, Katherine, yang dibantu seluruh anggota keluarga Jackson yang lain untuk memastikan mereka tidak mengalami tekanan perasaan ekoran kematian Michael.
La Toya berkata: "Paris sentiasa memikir dan bercakap mengenai bapanya. Dia banyak menulis mengenai Michael dan memakai bajunya setiap hari. Bau Michael masih ada pada baju itu dan ia membantu Paris merasakan dirinya dekat dengan bapanya.
Walaupun satu-satunya anak perempuan Michael itu bersikap terbuka mengenai bapanya, bagaimanapun, menurut La Toya, anak sulung Michael mempunyai sikap berbeza.
"Prince tidak mahu bercakap mengenainya. Dia juga tidak mahu menonton DVD bapanya. Dia hanya membiarkan saja Paris menonton dan tidak peduli langsung mengenainya. Mungkin terlalu awal. Dia masih bersedih. Saya terlalu bimbang keadaan dia."
"Blanket juga masih bersedih. Dia anak yang pemalu. Dia masih menangisi pemergian bapanya. Kematian Michael mungkin terlalu berat baginya. Tidak ada orang yang boleh membawa bapanya kembali semula dan ia menjejaskan perasaan kanak-kanak itu."
"Kami menghantar mereka menjalani terapi. Kami berharap sangat Prince akan mula bercakap dan bersifat terbuka seperti Paris."
Sejak kematian Michael, 50, Jun lalu, keluarga itu berusaha melindungi anaknya daripada cerita yang disiarkan mengenai bapa mereka dan pada masa sama, cuba meneruskan cara Michael membesarkan mereka.
"Mereka masih menjalani rutin yang sama. Mereka tidak menonton televisyen kecuali rancangan Disney dan Nickelodeon dan itu pun untuk selama dua jam sehari. Mereka bersama setiap masa. Mereka dididik di rumah." kata La Toya.
Sambil memuji kemahiran Michael menjaga anaknya, La Toya berkata: "Ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak bergaduh. Michael menanamkan sifat kasih sayang pada mereka. Mereka juga pintar, lebih-lebih lagi Prince yang tahu banyak perkara. Dia boleh memberitahu anda mengenai bulan dan pelbagai subjek mengenai bumi ini secara mendalam.
"Michael memastikan mereka sentiasa membaca dan dia begitu mengambil berat mengenai apa yang mereka baca," kata La Toya.
Dia juga meramalkan apa yang akan dilakukan generasi keluarga Jackson akan datang.
"Paris tidak menyedarinya. Tetapi saya dapat melihat, dia bakal menjadi bintang. Jika dia berminat terjun ke dalam dunia hiburan, saya pasti dia akan berjaya. Yang lelaki pula ada ciri-ciri untuk menjadi pengarah, sesuatu yang ingin dilakukan Michael."
La Toya turut menyelar dakwaan beberapa pihak yang mengakui menjadi ibu atau bapa kandung kanak-kanak berkenaan, khususnya Mark Lester yang mendakwa dia adalah bapa sebenar Paris.
"Tidak menghairankan mengapa tiba-tiba begitu ramai yang mengaku ibu atau bapa kanak-kanak itu. Mujur kanak-kanak itu tidak mengetahuinya kerana mereka tidak menonton televisyen. Bagi kami, Michael adalah bapa dan juga ibu sebenar anaknya."
0 comments:
Post a Comment